Wednesday, September 28, 2016

6 fakta menarik tentang jalan persekutuan di Malaysia

  1. Kilometer Sifar (0) Kebangsaan di kebanyakan negara terletak di ibu negara masing-masing. Namun, Kilometer Sifar bagi Semenanjung Malaysia tidak terletak di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya di Johor Bahru, kerana ketiga-tiga laluan tulang belakang utara-selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5 kesemuanya dikira bermula dari Johor Bahru.
  2. Jalan persekutuan tertinggi di Malaysia ialah Jalan Gunung Brinchang FT432. Jalan tersebut merupakan jalan selorong berturap sehingga ke puncak Gunung Brinchang setinggi 2,032 m yang turut menempatkan stesen pemancar televisyen, menjadikan Jalan Gunung Brinchang FT432 sebagai jalan raya berturap tertinggi di Malaysia.
  3. Jambatan tol pertama di Malaysia ialah Jambatan Sultan Yahya Petra FT3. Ia dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965.
  4. Jalan raya tol pertama di Malaysia ialah Jalan Tanjung Malim-Slim River FT1. Dibuka pada tahun 1966, ia menggantikan jajaran lama yang kini sudah diturun taraf kepada Jalan Negeri Perak A121 dan Jalan Persekutuan 193. Kutipan tol di situ ditamatkan pada tahun 1994 sebaik Lebuh Raya Utara-Selatan E1 dibuka kepada lalu lintas.
  5. Lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia ialah Lebuh Raya Persekutuan FT2. Ia mula dibina pada tahun 1974 sebagai naik taraf bagi Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia dan siap pada tahun 1977.
  6. Jalan raya pertama yang menghubungkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dengan negeri-negeri pantai timur ialah Jalan Kuala Kubu FT55. Ia asalnya merupakan jalan kuda sepanjang 80 batu (130 km) dari Kuala Kubu Bharu ke Raub.

2 comments: